Sunday, June 20, 2010

Misteri Kuala Selangor

KUALA SELANGOR merupakan antara lokasi percutian yang harus dilawati kerana banyak tempat menarik boleh dilawati seperti Bukit Malawati, Taman Alam manakala makanan lautnya murah dan enak.

Bandar bersejarah itu merupakan bekas pusat pentadbiran kerajaan negeri Selangor namun disebaliknya terselit sisi eksentrik yang masih menjadi buah mulut sehingga kini.

Perjalanan dari Kuala Lumpur melalui Sungai Buloh sejauh lebih 90 kilometer sangat memenatkan tetapi penulis menjadi teruja setelah mendengar cerita orang tempatan berhubung kisah tempat menarik dan cerita pahlawannya.

Kisah Panglima Hitam, orang bunian, Bukit Malawati yang terdapat Batu Hampar, Telaga Tujuh, meriam meletup sendiri, pokok terbakar sendiri serta Kampung Teluk Penyamun cukup menarik untuk dibongkar.

Orang lama Kuala Selangor, Harun Anwar Zaini, 60, menjelaskan, Bukit Malawati merupakan salah satu lokasi yang harus dilawati.

Katanya, pengunjung bukan sahaja dapat bermain dengan kera yang jinak tetapi berpeluang menikmati aura Kuala Selangor menerusi bukit yang menyimpan kisah-kisah misteri.

Antaranya ialah Batu Hampar. Mengikut cerita lisan, ia merupakan batu sungai yang diangkat ke Bukit Malawati.

Pancung dayang

Mengikut maklumat daripada Muzium Sejarah Kuala Selangor, Batu Hampar dijadikan sebagai tempat Sultan Selangor terdahulu, Sultan Ibrahim untuk berehat dan menyabung ayam.

“Ada juga orang kampung mendakwa Batu Hampar itu menjadi tempat hukuman pancung seorang dayang yang berzina dan darahnya disimbah ke sekitar bukit.

“Tiada bukti yang dapat mengesahkannya. Bagaimanapun terdapat lebih kurang lima pokok sena berhampiran Batu Hampar mengeluarkan getah berwarna merah yang didakwa darah dayang itu,” cerita Harun.

Bagi memastikannya, krew Jurnal menoreh semua pokok sena itu. Ternyata benar semua pokok di kawasan batu tersebut mengeluarkan getah merah. Di sebalik cerita itu, ada pihak beranggapan getah pokok sena berwarna merah kerana faktor usianya lebih 50 tahun sedangkan getah sena muda berwarna putih.


<< BATU Hampar, tempat yang didakwa seorang dayang istana dihukum kerana berzina.

Meriam meletup

Selain kisah Batu Hampar terdapat meriam Sultan Ibrahim yang dikatakan meletup secara tiba-tiba. “Kejadian itu berlaku dua kali. Sekali pada 1960 dan sekali pada 1975 semasa hari ke-28 dalam bulan Ramadan. Punca meriam itu meletup sendiri masih menjadi misteri. “Kedua-dua peristiwa ini menimbulkan kegemparan kepada penduduk kampung pada waktu itu sehingga mereka membuat solat hajat dan doa selamat supaya Allah menjaga mereka daripada sebarang malapetaka,” katanya. Semasa kejadian meriam meletup sendiri pada 1975, pokok-pokok sekitar jalan Kuala Selangor sepanjang lebih kurang 20 kilometer terbakar dan tunduk sendiri, tambah Harun. “Tidak ada petir atau kilat pada masa itu,” ujar Harun lagi. Cerita eksentrik di Kuala Selangor disusuli dengan kisah Makam Anak Dara. Menurut versi cerita daripada Muzium Sejarah Kuala Selangor dan cerita lisan orang kampung, seorang anak dara yang warak dipaksa berkahwin dengan seorang pemuda walaupun dia tidak bersetuju. Gadis itu dikenali dengan nama Siti Rubiah. Siti Rubiah tiba-tiba ghaib pada malam pernikahan. Jelas Harun, kerana jasad Siti tidak ditemui, sebuah kubur dibina oleh ibu bapanya bagi memperingatinya dan ia digelar Makam Anak Dara. Penduduk tempatan yang ditemui mendakwa pernah terserempak dengan Siti Rubiah dan dikatakan seorang gadis yang cukup cantik dengan rambutnya panjang melepasi bahu.

<< POKOK sena yang mengeluarkan getah berwarna merah seakan-akan darah.

Panglima Hitam

Kisah seorang pegawai istana, Panglima Hitam juga memberi nilai sejarah dan semangat keperwiraan kepada warga Kuala Selangor. Panglima Hitam dikatakan seorang pegawai istana yang taat kepada Sultan dan gigih berjuang mempertahankan kerajaan daripada serangan musuh. Bagaimanapun, mayatnya turut lesap dan dikatakan masih hidup untuk menjaga Kuala Selangor daripada anasir buruk sehingga kini. “Dia seorang guru silat dan pegawai yang membantu pemerintahan menewaskan Belanda semasa penjajah itu cuba menakluk Kuala Selangor. “ Belanda dapat menawan Kuala Selangor namun Panglima Hitam dan bantuan lain, bandar ini dapat ditawan semula keesokannya,” katanya. Harun mendakwa pernah berjumpa dengan Panglima Hitam pada awal 90-an semasa sedang solat di sebuah surau di Kuala Selangor. ,b>Pesan panglima

Dia mendakwa, saiz badan Panglima Hitam tiga kali ganda daripada manusia normal selain bermuka gelap, memakai tengkolok, berbaju dan berseluar hitam selain menyimpan keris di belakang badan dengan saiz lebih kurang lima meter.

“Beliau berpesan kepada saya dalam bahasa Melayu baku akan tetap menjaga keamanan Kuala Selangor walaupun dalam era kemodenan kini.

“Malah dia berbicara kepada saya jangan lupa menunaikan solat wajib dan jangan berbuat maksiat dengan tempoh perbualan kurang lima minit,” dakwanya.

Pengurus Residen De Palma Kuala Selangor, Lokman Abd. Malek, 50, pula memberitahu, cerita unik mengenai siput laut atau lebih dikenali dengan mentarang yang dikatakan mempunyai pantang larang tersendiri.

“Ada versi cerita mengatakan mentarang akan merajuk dan tidak akan keluar dari lumpur yang terdapat di kuala sungai jika orang hanya mengambil mentarang bersaiz besar dan meninggalkan yang kecil atau dibuang.

“Tetapi sebenarnya banyak versi cerita dan misteri yang terdapat di Kuala Selangor. Terpulang pada setiap individu sama ada ingin percaya atau tidak.



**
sumber: rencana kosmo

Lamaran Indah Di Pawagam

KISAH percintaan mereka tidaklah sehebat Romeo dan Juliet atau Laila dan Majnun yang sanggup menggadaikan jiwa raga demi mempertahankan kasih sayang.
Namun, Eric Tan ingin mengabadikan sesuatu yang indah sebagai kenang-kenangan sepanjang hayat bersama kekasihnya, Sally Tong saat berhajat membuka fasa baru percintaan mereka.

Setelah setahun menyulam perasaan cinta, Eric yakin Sally merupakan insan yang dipilih untuk bertakhta di hatinya dan membulatkan tekad mengunci hati gadis itu dengan lamaran.

Pasangan berusia 23 tahun ini mula berkenalan sejak setahun lalu setelah berkenalan di laman sosial Friendster.

Menyedari dirinya bukan lelaki romantis, Eric yang gusar bagaimana untuk meluahkan isi hati kepada insan yang disayangi itu akhirnya memilih untuk membuat lamaran di pawagam yang menjadi lokasi pertama pertemuan mereka.


Seperti dirancang, Sally yang tidak mengetahui perkara tersebut diajak adiknya untuk menonton sebuah filem di pawagam yang terletak di Plaza Gurney, Pulau Pinang baru-baru ini bagi menemaninya menghabiskan cuti hujung minggu.

Kira-kira setengah jam selepas filem ditayangkan, skrin bertukar 'cerita' apabila menayangkan video pendek mengenai kisah percintaan Eric dan Sally yang ditayangkan menerusi sistem projektor ke skrin layar.

Eric pula muncul dari luar pawagam memakai sut serba putih menuju ke arah Sally bersama sejambak bunga mawar merah sambil menyanyikan lagu Married With Me yang dipopularkan oleh artis Hong Kong, Alex Thoo.

Suasana bertukar menjadi gamat apabila kira-kira 90 penonton yang sebenarnya adalah rakan-rakan pasangan kekasih itu bersorak gembira sambil bertepuk tangan apabila Eric melutut di hadapan Sally menghulurkan sebentuk cincin emas.


Sally yang kelihatan terkejut hanya mampu menangis kegembiraan dan menyambut lamaran kekasihnya itu sebelum kedua-duanya berpelukan mesra sebelum satu ciuman mesra dihadiahkan Eric ke pipi buah hatinya itu.

Malah kehadiran ibu Sally, Seow Yeok See secara senyap-senyap ke pawagam itu ditemani seorang lagi anak perempuannya untuk memberi kejutan sebenarnya memberi tanda dia merestui percintaan pasangan tersebut.

Eric, yang mengusahakan sebuah syarikat pengiklanan di sini memberitahu beliau sebenarnya gementar dengan rancangan tersebut kerana bimbang sekiranya tidak disukai kekasihnya itu yang bertugas di sebuah bank.

Mengakui jatuh hati tatkala kali pertama bertentang mata dengan Sally setelah sebulan berkenalan di laman maya, dia memberitahu gadis itu sarat dengan ciri-ciri wanita yang diimpikan sebagai isteri


"Pawagam ini menyimpan kenangan cinta kami. Di sinilah kami berdua sering menghabiskan masa hujung minggu menonton filem-filem kegemaran dan perlahan-lahan mengenali hati budi masing-masing.

"Walaupun bergelar kekasih, tapi saya masih ragu-ragu jika dia enggan menerima lamaran ini tetapi saya nekad kerana telah tiba masa untuk meluahkan isi hati.

"Lalu saya dan rakan, Jordan Soot terfikir mengenai idea ini dan kami rancang semuanya dengan bantuan kawan-kawan lain sejak dua minggu lalu.

"Walaupun perlu berbelanja RM3,000 untuk menyewa pawagam ini, saya benar-benar puas hati kerana hajat untuk melamar Sally termakbul," ujarnya ceria.

Ini merupakan kali pertama pasangan kekasih membuat lamaran di dewan pawagam tersebut sejak enam tahun ia beroperasi.



**
sumber: varia kosmo

Penjara Pudu Kini Akan Tinggal Sejarah

Tiba detik 10 malam ini (21 Jun 2010), tembok Penjara Pudu di sini yang berusia 100 tahun, setinggi 4.5 meter dan sepanjang 394 meter yang menghadap Jalan Pudu akan dirobohkan.

Seandainya tembok itu boleh berkata-kata, mungkin ia akan mengatakan bahawa 100 tahun sudah cukup baginya menyaksikan pelbagai peristiwa suka duka, pahit manis dan kini tiba masa untuk merelakan dirinya tumbang menyembah bumi setelah 14 tahun dilanda kesepian.

Mungkin ia juga akan mengatakan bahawa dirinya yang dahulunya gah dengan mural sepanjang 384 meter yang mencatatkan rekod sebagai yang terpanjang di dunia, kini sudah tidak bererti lagi.

Penjara Pudu atau dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal terletak di Jalan Hang Tuah mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar. Pembinaan penjara tersebut dibuat secara berperingkat-peringkat dan siap sepenuhnya pada tahun 1895.


**
sumber : kosmo