
Pigmi Marmoset merupakan monyet yang paling kecil, dengan panjang badannya
hanya 14 -16 sentimeter (tidak termasuk ekornya yang 15-20 sm panjangnya), serta juga salah satu primat yang terkecil di dunia. Monyet jantan sekitar 140 gram (5 auns) beratnya, manakala berat betina
hanya sebanyak 120 g (4.2 oz).
Walaupun namanya, Pigmi Marmoset adalah agak berbeza dengan marmoset-marmoset yang tipikal dalam genus Callithrix. Oleh itu, ia digolongkan dalam subgenus tersendiri yang dahulu diiktiraf sebagai Cebuella. Terdapat dua subspesies Pigmi Marmoset, iaitu:
* Callithrix (Cebuella) pygmaea pygmaea
* Callithrix (Cebuella) pygmaea niveiventris.

Pigmi Marmoset adalah omnivor dan makan buah, daun, serangga dan kekadang juga reptilia yang kecil. Bagaimanapun, kebanyakan dietnya terdiri daripada sap pokok. Sehingga dua pertiga masanya dihabiskan untuk menebuk kulit pokok supaya dapat memperoleh sap yang lekit. Ia mempunyai gigi kacip yang sangat khusus untuk kegiatan ini.
Disebabkan oleh saiznya yang kecil serta pergerakan yang tangkas dan pantas, Pigmi Marmoset tidak mudah dilihat di kawasan-kawasan liar. Dalam kurungan, monyet ini boleh hidup sehingga 11 tahun.