Monday, September 13, 2010

Kejar Pahala Atau Wang

Walaupun Ramadhan dah beberapa hari meninggalkan kita tapi masih banyak lagi perkara yang boleh dikongsikan namun bukan bermaksud untuk memandang rendah atau merendah-rendahkan sesiapa jua sebaliknya hanya sekadar berkongsi agar kita semua tidak lupa hakikat sebuah kehidupan di dunia ini.

Bulan Ramadan memang bulan rahmat bagi sebahagian besar dari kita, tidak kira samada yang berniaga makanan dan minuman, membuat kuih atau biskut dan juga tempahan untuk membuat baju raya. Kerana keuntungan yang diperolehi sepanjang bulan Ramadan khabarnya boleh makan sampai 3 hingga 6 bulan. Wah, lumayannya rezeki di bulan Ramadan.

Betapa murahnya rezeki Ramadan, alangkah baiknya dan lebih bermakna lagi jika sepanjang Ramadan ini kita penuhi dengan amal ibadah tanda kesyukuran. Banyak amalan yang boleh dilakukan sepanjang bulan Ramadan ini tetapi yang tidak terdapat pada bulan lain ialah solat Terawih.

Walaupun solat ini sunat namun selepas berlalunya Ramadan kita tidak lagi berpeluang untuk melakukannya. Jadi rebutlah peluang untuk melakukan solat Terawih, tidak kiralah berapa jumlah rakaat yang mampu kita lakukan. Yang penting kita buat. Jika banyak rakaat kita lakukan banyaklah pahala yang kita dapat, insyaALLAH.

Jangan jadikan urusan berniaga sebagai penghalang untuk melakukan ibadah. Janganlah kerana letih berniaga sehingga tidak mampu untuk solat Terawih. ALLAH suka orang yang berniaga, sebab ia satu usaha yang mulia di sisi Islam, namun balaslah kenikmatan yang ALLAH kurniakan itu dengan amal ibadah. Andai kata urusan berniaga itu menghalang solat atau beramal, maka kita perlu menguruskan masa dengan lebih cekap.

Begitu juga bagi mereka yang menerima tempahan kuih dan baju raya. Pendapatan yang dijana sepanjang bulan puasa memang tidak kurang hebatnya. Tidak hairan selepas saja kita berbuka puasa terus bergelumbang dengan bahan-bahan untuk membuat kuih bagi memenuhi segala tempahan. Lazimnya hampir subuh baru siap dan setelah bersahur barulah mereka tidur. Begitulah keadaannya sehingga menjelangnya hari raya.

Jadi timbul persoalan diminda, apakah sebenarnya yang kita kejar sepanjang bulan Ramadan ini ? beramal atau mengumpul keuntungan? mengejar pahala atau wang ? sama-samalah kita fikir-fikirkan.

Kata-kata untuk renungan bersama “Jika dunia ini persinggahan, mengapa tidak kita banyakkan bekalan untuk meneruskan perjalanan? Kerana kita cuma ada satu persinggahan.”

0 comments:

Post a Comment