Friday, May 28, 2010

Bintang Tiga Beradik

Bintang Tiga Beradik adalah nama yang diberikan oleh orang Melayu lama kepada sederet tiga biji bintang terang di buruj Belantik (Inggeris: Orion the Hunter). Ahli astronomi Arab menamainya (dari kanan ke kiri) sebagai Mintaka, Alnilam, dan Alnitak sempena tali pinggang pemburu itu. Walaupun terdapat beberapa nama lain, nama inilah yang diguna pakai dalam buku astronomi hari ini[1].
Mintaka berasal daripada perkataan al-minṭaqah (المنطقة), "tali pinggang", Alnilam daripada al-niẓam (النظام), "untaian (mutiara)", dan Alnitak daripada al-niṭaq (النطاق), "bengkung".

Selain daripada itu, ketiga-tiganya secara kolektif dikenali juga dalam bahasa Arab sebagai Al Nijād (اﻟﻨﺟﺎﺩ), "tali pinggang", Al Nasaq (اﻟﻨﺴﻖ), "garis", Al Alqāṭ (الاﻟﻘﺎﻂ), "labuci", dan Faqār al Jauzah (ﻓﻘﺎر اﻟﺟﻮزة), "tulang belakang Jauzah". Nama Arab yang lebih moden sedikit ialah Al Mīzān al Ḥaqq (اﻟﻣﻳﺯﺍﻦ اﻟﺤﻖ), "neraca sebenar" ("Neraca palsu" atau Al Mīzān al Baṭīl (اﻟﻣﻳﺯﺍﻦ اﻟﺑطﻴل)) merujuk kepada lengkungan bintang di selatan Bintang Tiga Beradik iaitu pedang Orion hingga ke bintang Saiph di kaki kirinya[2].

Johann Bayer, ahli astronomi Jerman abad ke-17 yang menyusun katalog bintang dalam bukunya Uranometria (1603), menamaï ketiga-tiganya menurut abjad Yunani iaitu delta (δ), epsilon (ε), dan zeta (ζ) - Delta Orionis, Epsilon Orionis, dan Zeta Orionis.


Kegunaan:-
Bintang Tiga Beradik terletak di Khatulistiwa samawi dan dijadikan panduan arah dan musim. Jika disambung dalam garisan lurus ke barat (dari Alnitak ke Mintaka), ia menunjukkan barat atau arah kiblat. Jika disambung terus ke bintang Heka di "kepala" Orion, ia menunjukkan arah utara. Ia juga digunakan untuk mencari bintang lain di sekitarnya. Dan oleh sebab ia muncul di langit malam dari Disember hingga Mac setiap tahun, ia menunjukkan musim sejuk di hemisfera utara.
>Belantik
dapat menunjukkan arah
ke bintang lain



Mintaka
*********
Mintaka (δ Ori) adalah bintang dedua yang magnitud kecerahannya 2.4 dan 6.8 dan warnanya putih berseri dan lembayung muda. Spektrum cahayanya menunjukkan ia bergerak sedikit sahaja. Bintang lembayung muda itu adalah gergasi biru jenis B manakala bintang putih yang lebih berjisim itu jenis O. Mintaka juga adalah bintang berubah dedua gerhana yakni salah satu bintang melintasi bintang satu lagi dan menggerhanakannya, menyebabkan kecerahannya menurun seketika

Alnilam
*********
Alnilam (ε Ori) berkecerahan 1.8 dan berwarna putih terang. Spektrum cahayanya bersifat "Sirian" yakni mirip spektrum bintang Sirius di buruj Anjing Besar atau Canis Major. Dari spektrumnya, Alnilam didapati berundur yakni menjauhi Bumi pada kelajuan 26.6 km/s. Alnilam mencapai puncaknya yakni berada tegak di atas kepala pada 25 Januari setiap tahun.

Alnilam adalah bintang supergergasi biru yang dua kali lebih jauh jaraknya dari Matahari daripada Mintaka dan Alnitak. Namun, oleh sebab kilauannya, ia kelihatan sama terang dengan bintang pengapitnya itu. Dan oleh sebab saiznya yang sangat besar itu, ia kehilangan jisim dengan cepat menerusi pembakaran gasnya. Usianya dijangka baru empat juta tahun

Alnitak
********

Alnitak (ζ Ori) pula adalah kembar tiga. Setiap satunya bermagnitud 2.5, 6.5, dan 9, dan warna masing-masing adalah kuning topaz, ungu muda, dan kelabu. Spektrumnya "Sirian", menunjukkan bahawa Zeta Orionis menjauhi Bumi selaju 14.5 km/s. Alnitak terletak sejauh 800 tahun cahaya dari Bumi. Bintang utamanya adalah supergergasi biru. Tidak jauh dari Zeta Orionis ini ialah Nebula Kepala Kuda (IC 434) iaitu nebula gelap berbentuk kepala kuda.

%%
Info: ensiklopedia bebas



0 comments:

Post a Comment