Friday, May 28, 2010

Kilat Bebola

Sebuah foto yang menggambarkan kilat bebola
semula jadi, diambil pada tahun 1987 oleh seorang
mahasiswa di Nagano, Jepun.



Kilat bebola atau petir bola adalah satu fenomena tenaga elektrik atmosfera yang kontroversi dan menjadi bahan perdebatan. Istilah ini merujuk kepada laporan kilatan, biasanya objek berbentuk bulat yang mempunyai saiz yang pelbagai iaitu dari sebesar kacang polong sehingga yang mempunyai ukur lilit beberapa meter. Hal ini kadang-kadang dikaitkan dengan ribut petir, tetapi berlangsung jauh lebih lama daripada kilauan beberapa saat kilatan petir.

Ujikaji makmal telah menghasilkan kesan yang mirip, yang mana sekilas pandang menyerupai petir bola, tetapi sekarang tidak diketahui perkara ini sebenarnya yang berkaitan dengan fenomena yang berlaku secara semula jadi. Data saintifik kilat bebola semula jadi sukar didapati disebabkan kekerapan yang kurang dan di luar jangkaan. Anggapan akan kewujudannya dibuat berdasarkan laporan orang awam, dan kerana itu menghasilkan penemuan yang tidak konsisten. Disebabkan ketidak konsistenan ini dan kekurangan data yang boleh dipercayai, hakikat kilat bebola masih belum diketahui.[1] Sehingga baru-baru ini, kilat bebola sering dianggap sebagai khayalan atau penipuan, tetapi beberapa perbincangan dan teori saintifik telah cuba untuk menjelaskannya.

CIRI
*****

Penggambaran kilat bebola berbeza-beza. Ia telah digambarkan sebagai bergerak ke atas dan bawah, ke samping ataupun mengikut trajektori tak terduga, mengapung dan bergerak dengan atau menentang angin; tertarik, [2] tidak terpengaruh oleh, ataupun tertolak daripada bangunan, orang, kereta dan objek lain. Beberapa kisah menggambarkannya sebagai bergerak melalui jisim pejal kayu atau logam tanpa kesan, sementara yang lain memerikannya sebagai memusnah dan melakur atau membakar bahan tersebut. Penampilannya juga telah dikaitkan dengan kabel elektrik[3] dan juga ketika badai dan juga cuaca tenang. Kilat bebola telah digambarkan sebagai lut sinar, lut cahaya, warna-warni, menyala rata, memancarkan api, filamen atau percikan api, dengan bentuk-bentuk yang pelbagai antara bola, bujur, titisan air mata, batang atau cakera.

Bebola ini telah dilaporkan memencar dengan berbagai cara, seperti tiba-tiba menghilang, menghilang secara berperingkat, diserap ke dalam objek, "meletus", meletup kuat, atau bahkan meletup dengan kuasa, yang kadang-kadang dilaporkan sebagai merosakkan. Kisah juga berbeza akan bahayanya bagi manusia, daripada membawa maut kepada tidak merbahaya.


@@
info: ensiklopedia bebas.

0 comments:

Post a Comment