Sunday, May 30, 2010

Di Mana Ada Kemahuan..

Nenek, 94 Tahun Terima Diploma

OAKLAND (California) : Seorang wanita dari San Leandro, Hazel Soares telah membuktikan bahawa tidak pernah terlewat untuk sesiapa memperoleh diploma dari pusat pengajian tinggi

Menurut Hazel, dia mengambil masa agak lama menamatkan pengajian kerana sentiasa sibuk.
“Namun, akhirnya saya berjaya dan saya amat gembira,” katanya.


Hazel yang mempunyai enam anak dan 40 cucu serta cicit dipercayai orang kedua tertua di dunia berjaya menamatkan pengajian di peringkat kolej.

Orang tertua pernah menamatkan pengajian di peringkat itu adalah wanita Kansas, Nola Ochs, kini 98, yang menerima ijazah sarjana dari Universiti Fort Hays tiga tahun lalu.

Lahir di Richmond, California, pada 1915, Hazel berkata, dia memang berhajat melanjutkan pengajian ke peringkat kolej selepas menamatkan persekolahan di Sekolah Tinggi Roosevelt pada 1932.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan ketika itu Amerika Syarikat dilanda kemelesetan ekonomi parah, niatnya terhalang.

“Dalam keadaan begitu pun, saya tak pernah berputus asa,” katanya.

Hazel berkahiwn dua kali, membesarkan enam anak dan bekerja sebagai jururawat serta penganjur majlis sebelum bersara.

Hanya selepas itu dia memutuskan untuk menjadikan impiannya satu realiti.

Dia menghabiskan masa enam tahun mengikuti kursus di Kolej Chabot di Hayward sebelum mendapat ijazah bersekutu ketika berusia 85 tahun.

Hazel diterima masuk ke Kolej Mills pada 2007.

Anak bongsu Hazel, Regina Hungerford, berkata mereka amat kagum dan bangga dengan pencapaian wanita berkenaan.


“Perkara terpenting yang kami pelajari adalah, kita tak pernah terlalu tua untuk belajar,” katanya.

Speaker Parlimen AS, Nancy Pelosi, turut mengucapkan tahniah kepada Hazel selepas menyampaikan ucap utama pada majlis konvokesyen berkenaan.

Hazel turut mendapat sorakan daripada rakan sekuliah serta lebih 40 ahli keluarga.

Walaupun berusia lanjut, Hazel masih memandu sendiri dan bertemu doktor tiga tahun sekali serta tidak makan sebarang ubat-ubatan.

**
bahan : hmetro

0 comments:

Post a Comment