Sunday, May 9, 2010

Selamat Hari Ibu

Photobucket

Hari ini Ahad 09 May 2010, merupakan Hari Ibu, yakni penghormatan bagi semua yang bergelar ibu. Ibu,mama,mami,umi,bonda,emak dan apa saja panggilan untuk mereka, mereka tetap bermakna dalam hidup kita tidak kira di desa mahupun di kota. Untuk itu, Cella@Dariku Untukmu ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu u tidak kira di mana pun anda berada.

Islam memandang berat pengorbanan seorang ibu kerana merujuk kepada kepayahan dan kesusahan mereka ketika mengandungkan kita, membesar, memelihara dan mendidik kita sehinggalah kita menjadi seperti kita hari ini.

Firman Allah dalam Surah Lukman ayat 14: Maksudnya: “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya ,ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepada ku dan kedua ibu bapamu dan ingatlah kepad Aku lah jua tempat dikembalikan untuk menerima balasan”. Pengorbanan mereka adalah pengobanan yang cukup besar. Maka atas dasar itulah Islam menggandingkan tanggungjawab mentaati ibubapa mengiringi persoalan mentauhidkan Allah.

“Muawiyah bin Haidah Al-Qusairi telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Siapakah orang yang paling patut untuk aku berbuat baik?. Baginda menjawab: Ibu Mu. Aku bertanya lagi: Kemudian siapa?. Baginda menjawab: Ibu Mu. Aku bertanya lagi: Kemudian siapa?. Baginda menjawab: Ibu Mu. Aku bertanya lagi: Kemudian siapa?. Baginda menjawab: Bapa Mu, seterusnya orang yang paling hampir denganmu” . Menurut maksud Hadis tersebut pengulangan lafaz ibumu menunjukkan tentang ketinggian martabat seorang ibu tanpa menafikan hakikat dan tanggung jawab seorang ayah.

Dalam kita mengenang jasa ibu sempena kita menyambut hari ibu setiap tahun marilah sama-sama kita bermuhasabah dan berikrar untuk sentiasa menyayangi dan menjaga hubungan baik dengan ibu kita. Berusahalah agar kita tidak menyakiti hati ibu kita yang selama ini entah berapa kali kita telah menyakiti dan menyentuh hati dan perasaan mereka. Ingatlah, perbuatan menyakiti hati seorang ibu adalah merupakan dosa yang cukup besar. Berjanjilah kita bahawa kita akan menjadi anak yang tidak menderhaka kepada kedua ibu bapa kita.

Adalah sesuatu yang amat mengecewakan kita pada hari ini apabila ada sebahagian anak-anak tidak lagi hormat kepada ibu-bapa, berani memaki hamun apabila tidak mendapat apa yang dihajati malah lebih dahsyat sanggup melakukan jenayah seperti memukul, sepak terajang bahkan lebih dahsyat hingga sanggup membunuh ibu-bapa sendiri. Ini adalah tanda jiwa mereka sudah tandus daripada keimanan.

0 comments:

Post a Comment