Wednesday, August 11, 2010

Kisah Pengajaran

Semoga kita semua mendapat iktibar dari cerita berikut:

Suatu masa dahulu, ada seorang saudagar yang menjual kopiah dari sebuah kampung ke kampung yang lain. Dia menggendong kopiah-kopiahnya yang telah diikat di dalam sebuntil kain ke merata tempat untuk dijual.
Setelah puas berjalan, saudagar itu berehat di bawah sepohon pokok di pinggir hutan. Oleh kerana terlalu penat, saudagar itu pun terlena.
Tidak berapa lama kemudian datang sekumpulan beruk. Beruk-beruk tersebut turun dari atas pokok dan mengambil kopiah-kopiah saudagar itu lalu memakainya seperti mana saudagar yang sedang tidur lena itu.
Sebaik terjaga, saudagar itu mendapati buntil kainnya berselerak dan tiada satu pun kopiahnya yang tertinggal kecuali kopiah yang dipakainya. Apabila dia memandang ke atas pokok, dia melihat sekumpulan beruk memakai kopiah-kopiahnya di kepala mereka.
Dia kemudian membuka kopiahnya lalu menggaru-garukan kepalanya sambil memikirkan cara terbaik untuk mendapatkan semula kopiah-kopiahnya. Tanpa disedari, beruk-beruk itu meniru gelagat atau perbuatan saudagar tadi.
Keadaan ini memberi ilham kepada saudagar tadi, saudagar itu melambungkan kopiahnya dan menyambutnya beberapa kali. Beruk-beruk itu memerhati dan kemudiannya meniru kelakuan saudagar itu.
Malangnya apabila beruk-beruk itu melambungkan kopiah, beruk-beruk itu tidak dapat menyambutnya semula lalu jatuh ke bawah.
Di penghujung cerita, saudagar tadi berjaya mendapatkan semula semua kopiah-kopiahnya kerana sikap beruk-beruk tadi, meniru kelakuan saudagar tanpa menyedari implikasinya.
Apa yang kita boleh rumuskan dari cerita di atas, kadangkala kita bertindak seperti beruk-beruk di dalam kisah tadi. Ini kerana, kita begitu mudah untuk meniru dan mengikut orang lain. Persoalannya sama ada kita tahu apa yang ditiru baik atau sebaliknya, tidak pula kita fikirkan.

Sama-samalah kita renung dan fikir-fikirkan.

1 comments:

Unknown said...

Sebaik2 kita jadi lah diri kita sendiri walaupon org sukar untuk memahami nya...

Post a Comment