Salam perkongsian untuk semua.
Apa perasaan kita apa bila mendapat perkhabaran mereka yang begitu dekat dengan kita ditimpa musibah ? dan apa pula perasaan kita jika tiba-tiba dimaklumkan kita menghidap penyakit kronik, yang tidak mempunyai peluang untuk hidup lebih lama?
Atau mungkin kita dapat terus menghirup udara segar, namun sudah tidak berupaya dan berdaya untuk bergerak bebas, segalanya perlu dibantu, dan hanya menanti keajaiban untuk sembuh. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui penghujung usia kita. Setiap detik berlalu bermakna kita makin dekat menghampirinya. Setiap majlis hari lahir yang disambut bermakna kian singkatlah umur kita. Walaupun angka usia kita akan meningkat dari masa ke semasa hakikatnya usia kita semakin berkurang, bukan bertambah…
Sakit merupakan peringatan, mengingatkan yang lupa, menyedarkan yang leka, dan juga satu cara ALLAH meningkatkan martabat seseorang jika setulusnya reda dengan ujian itu… …
Pun begitu berapa ramai di antara kita yang disuntik kesedaran mendalam, keinsafan seikhlasnya, hanya setelah melalui sakit dan derita berpanjangan. Tidak kurang yang mengucap syukur kerana nyawa tidak direntap dengan tiba-tiba, tetapi didahului dengan peringatan sakit, membuatkan kita sempat bertaubat, sehingga mampu merencana hidup baru dengan usia yang berbaki…
Mengapa hati ini terlalu keras untuk memerhatikan kejadian dan gerak alam untuk kita mengambil manfaat daripadanya, sebelum segalanya sudah terlambat apabila roh dicabut dari jasad ?…
Kerdilnya diri ini mengenangkan dosa demi dosa, sambil membilang sekelumit jasa yang ditinggalkan … alangkah kecilnya. Jika kita dapat berhenti sejenak, dan sempat bermuhasabah tentang erti hidup yang makin hilang, mungkin ia seperti satu kurniaan nikmat yang begitu hebat…
Seperti biasa sebelum mengundurkan diri saya tinggalkan anda semua dengan kata-kata ini “ buatlah satu kebaikan yang akan terus hidup walaupun selepas kita mati ”
Sunday, August 8, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment